Sejarah Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia

MAHA bermula dengan nama persatuan Malayan Agri-Horticulture Association (MAHA) yang telah ditubuhkan pada bulan Oktober 1922. Tujuan utama penubuhan persatuan MAHA ini adalah untuk memberi tumpuan kepada sektor pertanian dalam menjana ekonomi negara dan menganjurkan pameran-pameran pertanian.

Pertunjukan dan pameran pertama MAHA (singkatan nama persatuan Malayan Agri-Horticulture Association dalam bahasa Inggeris)anjuran persatuan MAHA diadakan di Padang Kelab Lumba Kuda Selangor dari 30 Jun hingga 2 Julai 1923.

Hanya produk-produk yang terbaik dan terkini sahaja yang terdiri daripada tanaman, buah-buahan, hasil ternakan, bunga-bungaan, kraftangan dan pelbagai inovasi sahaja boleh dipamerkan di MAHA, setelah melalui pusingan di pertunjukan MAHA peringkat daerah dan negeri.

Pada zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu, pihak Jepun telah menggesa rakyat untuk bercucuk tanam bagi meningkatkan makanan sempena kemen "Tanam Lebih Makanan". Pada tahun Jepun 2602 (1942 Masihi), satu pemeran pertanian telah diumumkan di Kelantan yang bertajuk "Pertunjukan Barang-Barang Tanaman, Barang-Barang Hutan, Binatang-Binatang Dalam Air dan Barang-Barang Pertukangan".

Pertunjukan MAHA ke-18 telah dilancarkan pada 2 Ogos 1947 di "Coronation Park" yang terletak di Kuala Lumpur (pada tahun 1930-an, seluruh kawasan di mana Stadium Merdeka terletak sekarang dahulu digelar sebagai "Coronation Park") oleh Gabenor Sir Edward Gent. Ia merupakan pameran pertanian terbesar selepas peperangan tamat dengan keluasan 8 ekar menempatkan 40 buah gerai. 75,000 orang dan lebih telah datang melawat ke pameran tersebut yang berlangsung selama 3 hari.

Keadaan darurat pada tahun 1969 menyebabkan pameran MAHA yang dijadualkan pada Ogos tahun itu ditunda ke tarikh yang lain. Pada tahun 1972 seterusnya kerajaan telah mengisytiharkan pertunjukan MAHA akan digantikan dengan perayaan Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) setiap tahun. Bermulalah perayaan HPPNK yang pertama pada tahun 1975 dengan kesemua ciri-ciri pertunjukan MAHA diserap masuk ke pameran tersebut.

Pertunjukan MAHA kemudiannya dihidupkan kembali pada tahun 1999 dan kini nama singkatanya adalah pameran Malaysian Agriculture, Horticulture, and Agrotourism (MAHA). Bermula dari tahun 2002, pertunjukan MAHA diadakan 2 tahun sekali dan HPPNK juga disambut bersama dengan pameran antarabangsa MAHA.

Majalah MAHA

Majalah MAHA ialah majalah terbitan rasmi Persatuan Agri-Hortikultur Malaya. Ia diterbitkan secara suku tahunan dan membincangkan isu-isu penting untuk memajukan sektor pertanian negara ketika itu.